Artikel Oleh : Dr Shahirah
Pengenalan
Sejak kebelakangan ini, kes muntah dan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat. Walaupun orang dewasa juga boleh dijangkiti, keadaan ini lebih membimbangkan apabila melibatkan kanak-kanak kerana risiko dehidrasi yang tinggi.
Dalam kebanyakan kes, punca utama adalah jangkitan virus. Namun begitu, ia tidak boleh dipandang ringan
Apakah Simptom Yang Perlu Diberi Perhatian?
Antara tanda-tanda awal muntah dan cirit-birit pada kanak-kanak termasuk:
- Cirit-birit yang berlaku secara tiba-tiba, kerap dan dalam jumlah banyak
- Sakit perut
- Muntah berulang kali sehingga tidak mampu menahan makanan atau minuman
- Demam (sekiranya ada jangkitan)
Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang cepat, terutamanya jika muntah dan cirit-birit berlaku serentak.
Bahaya Dehidrasi Pada Kanak-Kanak
Dehidrasi adalah komplikasi utama yang perlu dielakkan. Ia boleh berlaku dalam tempoh yang singkat, terutamanya pada bayi dan kanak-kanak kecil.
Antara tanda-tanda dehidrasi yang perlu diberi perhatian:
- Anak kelihatan sangat dahaga
- Bibir dan lidah kering
- Kulit kering dan kurang tegang
- Letih dan kurang aktif
- Menangis tanpa air mata
- Pampers kurang basah atau kurang kencing
- Mudah meragam (irritability)
Sekiranya tanda-tanda ini muncul, rawatan perubatan perlu diberikan segera
Rawatan Awal Di Rumah
Sebagai langkah awal, ibu bapa boleh:
- Memberikan larutan rehidrasi oral (ORS)
- Memberikan minuman elektrolit
- Air kelapa sebagai sokongan tambahan
Namun, jika muntah terlalu kerap atau anak tidak mampu minum, segera dapatkan pemeriksaan doktor
Bila Perlu Ke Hospital?
Anak mungkin memerlukan pemantauan di hospital sekiranya:
- Tidak mampu minum langsung
- Muntah berterusan
- Terdapat tanda-tanda dehidrasi
- Keadaan semakin lemah
- Tindakan awal yang cepat boleh mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Kesimpulan
Muntah dan cirit-birit mungkin kelihatan biasa, tetapi dalam kalangan kanak-kanak, ia boleh menjadi serius dalam masa yang singkat.
Ibu bapa disarankan untuk tidak menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan. Pemeriksaan awal oleh doktor dapat membantu mencegah komplikasi dan memastikan anak mendapat rawatan yang selamat dan sesuai.