KOLESTROL: BAHAYA YANG RAMAI PANDANG RINGAN

KOLESTROL: BAHAYA YANG RAMAI PANDANG RINGAN

Artikel Oleh : Dr Nadirah (Klinik Perubatan Hijraa 24 Jam Kemaman)

Ramai orang rasa sihat walaupun sebenarnya kolesterol mereka tinggi.
Ini kerana kolesterol tidak memberi simptom awal, tetapi kesannya boleh jadi sangat serius.

Kolesterol tinggi boleh menyumbat salur darah dan meningkatkan risiko serangan jantung serta strok , dua penyebab utama kematian di Malaysia.

Apa itu kolesterol dan kenapa ia berbahaya?

Kolesterol ialah sejenis lemak dalam darah.
Masalah utama datang daripada LDL (kolesterol jahat).

LDL yang tinggi akan terkumpul di dinding salur darah, menyebabkan aliran darah tersekat dan organ penting seperti jantung dan otak tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

Semakin rendah LDL, semakin rendah risiko.

Siapa yang patut periksa kolesterol?

  • Semua individu berumur 30 tahun ke atas
  • Individu bawah 30 tahun jika mempunyai:
    – Kencing manis
    – Darah tinggi
    – Berat badan berlebihan
    – Merokok
    – Sejarah keluarga sakit jantung awal

 

Kolesterol tinggi bukan masalah orang tua semata-mata.

Sasaran bacaan LDL yang disarankan

• Ada sejarah jantung, strok atau kencing manis teruk
LDL < 1.4

• Ada kencing manis atau darah tinggi
LDL < 1.8

• Sihat tetapi ada sedikit risiko
LDL < 2.6

• Individu sihat
LDL < 3.0

Lagi rendah LDL, lagi baik untuk jantung.

Adakah semua orang perlu makan ubat kolesterol?

Tidak semua.

Perlu terus makan ubat jika:
• Pernah kena serangan jantung atau strok
• Pesakit kencing manis berumur ≥40 tahun
• Kolesterol jahat terlalu tinggi

Boleh cuba kawal tanpa ubat (3 bulan) jika:
• Masih sihat
• Kolesterol tidak terlalu tinggi

Semua keputusan perlu dibuat bersama doktor.

Langkah kawalan tanpa ubat

• Kurangkan makanan bergoreng, bersantan dan berlemak
• Kurangkan gula dan makanan segera
• Tambah pengambilan ikan, sayur dan buah
• Lakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit, 5 kali seminggu
• Berhenti merokok

Perubahan gaya hidup adalah asas kepada kawalan kolesterol jangka panjang.

Perlu ulang pemeriksaan darah?

Ya.

• Ulang pemeriksaan selepas 1–3 bulan
• Jika mengambil ubat, pemeriksaan penting untuk memastikan rawatan berkesan dan selamat

Kesimpulannya

Kolesterol jahat yang tinggi adalah bahaya senyap.
Ia tidak menyakitkan tetapi boleh membawa akibat besar.

👉 Buat pemeriksaan awal, kawal pemakanan dan ambil rawatan jika perlu.
Kesihatan jantung hari ini menentukan kualiti hidup di masa hadapan.

Share the Post:

Info Berkaitan